Tuesday, November 14, 2017

Angan-Angan Mat Jenin Rampas Pulau Pinang



A Kadir Jasin


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

MEDIA massa melaporkan Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi, mahu Parti Gerakan Rakyat Malaysia melihat banjir Pulau Pinang sebagai “petanda Tuhan” bahawa parti itu boleh menawan balik negeri tersebut.

Zahid (baju biru) ramal Gerakan tawan Pulau Pinang
Kata pemangku Timbalan Presiden Umno itu, bencana yang turut menyaksikan tanah runtuh, pokok tumbang dan kerosakan harta benda merupakan isyarat negeri itu sedia untuk diambil semula oleh Barisan Nasional (BN).

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Saya sikit pun tak hairan dengan tindakan Zahid mengaitkan banjir di negeri itu dengan harapan Gerakan merampasnya kembali dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang atas dua sebab.

Pertama, Umno/BN akan menggunakan apa saja untuk menaikkan semangat penyokong akar umbi BN yang sudah putus asa, kecuali apabila disogok dengan duit. Kedua, kerana dia berpidato di Persidangan Agung Gerakan.

Saya tidak berani hendak kata ramalan dan rujukan Zahid kepada “petanda Tuhan” itu tepat atau tidak.

Manalah tahu ketua Umno keturunan Jawa itu mewarisi sifat para wali dan kiyai Jawa yang dikatakan boleh membaca nasib dan mengetahui apa yang akan berlaku pada masa mendatang.

Ikut cerita, banyak juga ketua-ketua politik dan orang kaya di negara kita yang percaya kepada kuasa tilikan dan ramalan para kiyai Jawa itu dan ada yang sering ke sana mencari tangkal azimat.

Soalnya, kalau banjir Pulau Pinang adalah “petanda Tuhan” bahawa Gerakan akan kembali berkuasa di negeri itu, apa pula petanda banjir yang melanda negeri-negeri lain?

Apakah PAS akan kalah di Kelantan kerana banjir besar melanda negeri itu pada tahun 2014 dan BN akan kalah di semua negeri perintahnya yang juga dilanda banjir, termasuk Putrajaya yang banjir pada 8 Mei 2016?

Banjir Putrajaya 2016
Kalau hendak rujuk kepada “petanda Tuhan”, sebenarnya pada zaman (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak ini sangat banyak petunjuk seperti itu - sebuah kapal terbang MAS hilang tanpa kesan, sebuah lagi hancur musnah ditembak peluru berpandu, skandal 1MDB dan SRC, kadar tukaran ringgit yang merudum, kos sara hidup yang melambung, tragedi merangut nyawa macam runtuhan batu Gunung Kinabalu, kebakaran tahfiz dan serangan pengganas di Sabah.

Gerakan Tewaskan DAP?

Berkenaan ramalan ala kiyai Jawa yang Zahid buat mengenai harapan kemenangan Gerakan di Pulau Pinang, ia membawa ingatan saya kembali ke zaman gemilang parti itu.

Banyak orang mungkin tidak tahu atau sudah lupa sejarah Gerakan. Asas parti itu bermula pada akhir dekad 1980-an akibat radikalisme MCA.

Apabila mendiang Tun Lim Chong Eu menang tipis jawatan Presiden MCA pada tahun 1958 dengan mengalahkan mendiang Tun Tan Cheng Lock, MCA berpecah dua.

Perselisihan di antara Lim dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra meluas apabila menjelang PRU 1959, Lim menuntut bertanding 40 kerusi Parlimen dan bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi.

Tunku yang memihak kepada Tan dalam pertandingan MCA menawarkan untuk menaikkan kerusi MCA daripada 28 kepada 31, tetapi ditolak oleh Lim. Dia membantah dengan meletakkan jawatan Presiden MCA dan Dr Cheah Toon Lock dilantik menjadi Pemangku Presiden.

Lim merantau ke London dan hanya pulang beberapa tahun kemudian untuk menubuhkan United Democratic Party (UDP) pada tahun 1962. Dalam PRU 1964 UDP bertanding, tetapi tidak berjaya.

Tunku mempersendakan UDP dengan memanggilnya parti “udang dalam parit”. Udang hidup di sungai dan laut. Jadi udang di dalam parit adalah kecil dan rendah martabatnya.

Kegagalan itu mengubah pendirian Lim. Daripada seorang radikal Cina, dia berubah menjadi seorang “Malaysian” dengan menaja parti berbilang kaum bersama tokoh-tokoh bangsa lain.

Maka pada 24 Mac, 1968 tertubuhlah Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Singkatan awalnya Geram yang kemudian ditukar menjadi Gerakan. Antara penaja Gerakan ialah Almarhum (profesor) Syed Hussein Alatas, Mendiang Dr Tan Chee Khoon dan (profesor) Wang Gungwu.

Lebih sedikit setahun selepas penubuhannya, Gerakan menang besar dalam PRU 1969 dengan mengalahkan Perikatan di Pulau Pinang dan serentak dengan itu menamatkan 12 tahun hegemoni MCA di Pulau Pinang dan seluruh Semenanjung.

Lim (kiri) dan Alatas merayakan kemenangan 1969
Bagaimanpun, peristiwa 13 Mei 1969 dan keikhlasan Almarhum Tun Abdul Razak Hussein menaja konsep karajaan perpaduan nasional menyebabkan Gerakan, PAS dan beberapa buah parti pembangkang lain menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan, dan menjelang PRU 1974 bergabung menubuhkan BN.

Ironinya, dengan menyertai BN, Gerakan sedikit demi sedikit bertukar daripada parti pelbagai kaum kepada parti yang didominasi oleh kaum Cina dan dengan itu menjadi saingan langsung kepada MCA dan DAP.

DAP yang ditubuhkan pada tahun 1966 juga bermula sebagai parti berbilang kaum, tetapi akhirnya menjadi parti majoriti kaum Cina.
  
Walaupun Gerakan membawa kemajuan dan mentranformasikan ekonomi Pulau Pinang namun ia hilang sinar dan hormat rakyat jelata tanpa ketua yang berwibawa dan kuat seperti Lim Chong Eu dan Lim Keng Yaik. Maka dalam PRU 2008 Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP.

Sejak itu, Gerakan tidak lebih daripada rumput di tengah jalan, hidup segan mati tak mahu. Ia sudah menjadi lebih kurang macam PPP.

Jadi adakah dengan dua orang ahli Dewan Rakyat dan tiga ahli Dewan Undangan Negeri, Gerakan mampu memacu ramalan Zahid untuk kembali berkuasa di Pulau Pinang?

Kalau Umno sendiri dalam keraguan dan hanya berani bercakap besar di hadapan khalayak yang diupah maka adalah mustahil bagi parti-parti kelas dua macam MCA, Gerakan, MIC dan PPP membuat sebarang kejutan seperta merampas semula Pulau Pinang.

Ia tidak lebih daripada kata-kata manis buat perwakilan Gerakan atau sekadar angan-angan Mat Jenin.

Wallahuaklam.

Wednesday, November 08, 2017

Leksikon Bahasa Najib Semakin Kesat



A Kadir Jasin


RASA-RASANYA tidak ada Perdana Menteri Malaysia yang lebih taasub dengan asal keturunannya melainkan (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak.

 
Najib (tengah) berpakaian adat Bugis
Beliau sangat fanatik dengan etnik Bugis dan darah keturunannya. Tanpa segan silu beliau mengisytiharkan dirinya pahlawan Bugis.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Saya pernah menyiarkan sebuah rencana dalam blog ini pada 29 April 2015 menceritakan bagaimana, dalam satu lagi majlis serius iaitu pembentangan laporan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Najib mengisahkan hal orang Bugis dan kapal mereka.

Merujuk kepada diri beliau sebagai berketurunan Bugis, Najib berkata, pantang orang Bugis meninggalkan kapalnya walaupun karam dilanda badai. Kalau berminat boleh baca DI SINI.

Ketaasuban kepada darah Bugis ini mungkin ada kena mengena dengan gelaran tertinggi Bugis daerah Gowa yang dianugerahkan kepadanya iaitu I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil.

Anugerah itu diberikan kepadanya pada tahun 2005 ketika dia menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi ada satu lagi aspek menarik mengenai Najib yang muncul sejak beliau diangkat menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009, iaitu khazanah katanya.

Bagi saya yang mengenali beliau sejak tahun 1977, perubahan bahasa itu agak memeranjatkan kerana ia bercanggah dengan perwatakan beliau yang saya ketahui.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, leksikon bahasa beliau menjadi semakin berwarna – orang putih kata “colourful” – yang membawa maksud kasar, kesat atau lucah.

Antara yang terkenal adalah:

Haram jadah - ditujukan kepada peneroka Felda yang dituduhnya tidak menyokong Barisan Nasional.

Bangang – ditujukan kepada blogger/laskar siber Umno yang bergaduh sesama sendiri.

Kepala bapak kau – kepada yang menyuarakan kebimbangan pergantungan kepada China akan menjejaskan kedaulatan negara, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Stupid (bodoh) – juga kepada yang menyuarakan kebimbangan pergantungan kepada China akan menjejaskan kedaulatan negara, khususnya Tun Dr Mahathir.

Bangsat – amaran kepada orang Melayu sekiranya Barisan Nasional kalah.

Pedoman Bugis

Sepanjang yang saya tahu, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, Almarhum Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir tidak pernah menggunakan bahasa seperti itu di khalayak ramai atau dalam sidang akhbar.

Hatta Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang terkenal dengan watak “kelolo” (lawak) itu pun tidak mengguna istilah seumpama itu dalam nada yang Najib gunakan.

Tunku menggunakan bahasa seperti secara berjenaka, berseloroh dan selalunya di kalangan kenalan rapat atau di majlis-majlis tertutup.

Dalam carian saya mengenai leksikon Bugis, saya tidak pula menemui contoh atau bukti bahawa mereka adalah suku kaum yang suka mencarut atau menggunakan bahasa kasar.

Sebaliknya saya mendapati orang Bugis kaya dengan khazanah bahasa yang lembut dan petua yang penuh falsafah.

Misalnya, mereka sangat rapi dan terperinci mengenai sifat-sifat yang perlu ada pada seorang pemimpin atau ketua.

Disebutkan di dalam kitab nasihat orang Bugis, Lontara Attorioloang bahawa seorang pemimpin haruslah memiliki kriteria berikut (dalam bahasa Bugis dengan terjemakan bahasa Indonesia):-

a. Maccai Na Malempu = Cekap, Jujur dan Pintar.

b. Waranipi Namagetteng = Teguh Pendirian serta Berani dan tegas, .

c. Paulle Watakkalepi = Sehat dari jasmani dan rohani.

d. Ke’nawa-Nawapi = Harus memiliki pandangan, visi dan missi, pikiran yg cemerlang.

e. Naetau Masiripi Dewata Sewwae = Bertaqwa kepada Tuhan Yang Maha Esa.

f. Nasiri’I Alena, Nasiri Toi Padanna Rupatau = Menjaga harkat dan martabat dirinya, serta menghormati harkat martabat orang lain disekitarnya.

Kemudian ada lagi petua dan petunjuk yang berbunyi:-

“Tellui somperenna lino: “Lempuu, Getteng, Ada Tongeng na Appasikua. Narimakkuannanaro aaja’ laalo musaala panguju, aja’to mutettangngi sempajangmu, aja’laalo mucapa-capai pappasekku, nasaba’ anu maddupa tu matti”.

Artinya: Ada tiga hal yang menjadi kiat utama merantau yakni; Kejujuran, Keteguhan hati, tutur kata yang berlandaskan kebenaran, dan keikhlasan menerima apa adanya. Oleh sebab itu, janganlah kamu salah rencana dan salah melangkah, dan juga janganlah kamu pernah meninggalkan sembahyang lima waktu, serta janganlah kamu memandang remeh petuah ini, karena itu mengandung kebenaran yang akan menjadi kenyataan kelak.

Ritomainge’e eppa’ masero madecceng : mula mulanna namaiseiwi topurae mamaseiwi, maduanna tenri ellauwi nabbere, temmattajeng pamale’, matellunna tulung ngengngi sukara’na taue risingangka-gangkanna pattulung, maeppa’na mappangaja’ lettu’ riperu’e.

Artinya : Bagi orang yang panjang ingatannya ada empat hal yang sangat baik. Permulaannya mengasihani orang yang pernah mengasihaninya, kedua memberi tanpa diminta dan tidak menunggu pembalasan, ketiga menolong kesukaran orang dengan sepenuhnya, keempat memberi nasihat dengan tulus.

Limai uwangenna riallolongengi deceng, seuwani pakatunai alemu risilasannae, maduanna saroko maserisilasannae, matellunna makkareso patujue, maeppa’na moloie roppo roppo narawe’, malimanna molae laleng namatike’ nappa sanre’ ri Allah SWT.

Artinya: Lima jenis sifat manusia menghasilkan kebaikan, pertama merendahkan diri sepatutnya, kedua mencari kawan/sahabat sepatutnya, ketiga berbuat/bekerja yang baik dan benar, ke empat kembali apabila menghadapi rintangan, kelima waspada dalam perjalanan sambil berserah diri kepada Allah SWT.

Upaseng tokko, tellu ritu riapparentang riakkarungengnge, mula mulanna riaparentai sibawa cenning ati, maduanna riparentai sibawa siri’, matelluna riparentai sibawa tau’na.

Artinya: Juga saya pesankan, ada tiga jenis perintah dalam jabatan, permulaannya diperintah dengan ketulusan hati, kedua diperintah dengan mengingat harga diri, ketiga diperintah dengan rasa takut/taat.

Riparentai sibawa siri, riamasei riolo temmaresona, riraiyang pulana pappalece rimunri akkaresona. Riaddampengangngi asalanna risitinajannae, rininiriyangngi ada ada enrengnge pangkaukeng bati’ todeccengnge, bettuana aja’ mupegaukengi maka naposiri’e, apa siri’namitu ripoatangngi. Werengi ada ada enrengnge inninawa marilelang, apa iyatu todeccengnge, narekko engkai patuju mapetu innokkinnongngi ritu.

Artinya: Diperintah dengan harga diri, dikasihani terlebih dahulu sebelum bekerja, diperbanyak belas kasih sesudah bekerja, dimaafkan kesalahan yang pernah dibuat sewajarnya, dipilihkan kata kata dan perbuatan bagi orang yang baik artinya jangan bertindak kepadanya yang dapat menyinggung harga dirinya (siri’na), karena dia mengikut hanya karena untuk menjaga harga dirinya. Berikanlah kata kata dan tingkah laku tulus, sebab orang baik itu putih/suci bersih kalau dia dalam kebenaran.

Riparentai sibawa tau’, iyana ritu riassekiyangngi ade’ pura onrona, dipalalowangngi ade’ abiasanna, terrilukkai bicara puranna, tenriala pada olona, rialangngi atongengenna ritanrereangngi asalanna, tenriwawa ritengngelo’na.

Artinya: Diperintah karena takut/ketaatannya, yaitu diperteguh adat yang sudah dibakukannya dan diizinkan pada adat kebiasaannya. Tidak dibatalkan hukum yang telah diselesaikan/diputuskan, tidak dirampas haknya, diberikan kebenarannya tidak di bawah tanpa persetujuannya.

Pangaderengnge temmakkullei sia riappassan apa’ lanro alenai arajangnge. Pada toisa temmakkulleni risui’ matae risappe’ daucculie, riteppe’ lilae enrenge aje nariabbeyang.

Artinya: Adat istiadat itu tidak mungkin dilaksanakan secara paksa, sebab dia adalah tubuh dari kebesaran kekuasaan. Sama saja dengan tidak mungkinnya dicungkil mata, dipotong daun telinga, dipotong lidah dan kaki kemudian dibuang.

Iyatopa upoadakko, appujio sio mumadeceng kalawing ati, apa’ sininna decengnge enrengnge upe’e polemanengngi rideceng kalawing atie. Aja’ sio mualai pompola to mapperumae riwatakkalemu, iyana ritu matae, daucculie, lilae inge’e. Tomapperuma maneng ritu riwatakkale. Iyasa muala pompola mattungka engkae riwatakkalemu, iyana ritu kalawing ati madecengnge. Aja’ sio namasero muatepperi pangkau kenna tomaperrumae. Iyana ritu pakkitanna matae, parengkalinganna acculie, ada adanna lilae, paremmaunna inge’e. Gau’na kalawing ati madecengnge madecengngi riakkatenning, matanna kalawing atie de’ nakaita-ita, lilana kalawing ati madecengnge de’ nakapau pau, dacculinna kalawing ati madecengnge de’ nakaengka engkalinga, inge’na kalawing ati madecengnge de’ nakaemma emmau mainge’ tongeng tongeng. Naengngerangngi sininna pura naengkalingae, naengngerangngi pura naitae pura napoadae.

Artinya: Juga saya katakan, cintai dan berbaiksangkalah kepada sesamamu, sebab semua kebaikan dan kemujuran bersumber dari baik sangka/ketulusan hati. Janganlah hendaknya menjadikan pimpinan, penumpang dalam tubuhmu, yaitu mata, telinga, lidah, hidung. Jadikanlah pimpinan yang memang ada di dalam tubuhmu ialah ketulusan hati yang baik. Jangan terlalu mempercayai tingkah laku penumpang dalam tubuhmu yaitu penglihatan mata, pendengaran, pendengarang telinga, perkataan lidah, penciuman hidung. Perbuatan hati yang tulus baik dipegang, matanya hati yang tulus tidak sembarang melihat, lidahnya hati yang tulus tidak sembarang berkata, telinganya hati yang tulus tidak sembarang mendengar, hidungnya hati yang tulus tidak sembarang mencium. Mengingat semua yang pernah didengarnya, mengingat semua yang pernah dilihatnya, mengingat semua pernah dikatakannya.

Kebetulan dalam carian saya pada tahun 2015, saya mendapati bahawa bahawa ramai artis terkenal Malaysia, antaranya Ella, Ziana Zain, Anuar Zain, Noraniza Idris dan Lisa Surihani adalah juga daripada keturunan Bugis. 
Sumber: Wikipedia bahasa Indonesia.

Wallahuaklam.

Sunday, November 05, 2017

Dakwaan Hidup Mewah Pemimpin PAS di Mahkamah Inggeris



A Kadir Jasin


KEMEWAHAN hidup golongan nouveau riche (orang kaya baru) Parti Islam Se Malaysia (PAS) sedang didedahkan di mahkamah Inggeris di London akibat saman malu (Datuk Seri) Haji Abdul Hadi Awang ke atas Clare Rewcastle-Brown.


Peguam PAS dengan dokumen Saman Terhadap Sarawak Report
Dalam dokumen pembelaannya, Clare Brown telah mendedahkan kekayaan pemimpin elit PAS yang didakwanya diperoleh hasil sumbangan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Pengarang portal berita Sarawak Report itu mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada Najib. Abdul Hadi menafikan tuduhan itu dan menuntut supaya Clare Brown memohon maaf. Apabila Clare Brown enggan, Abdul Hadi mengemukakan saman fitnah terhadapnya.

Kekayaan dan gaya hidup mewah bapak-bapak kepala PAS hasil “sedekah” Najib itu disenaraikan dengan panjang lebar oleh Clare Brown dalam kenyataan pembelaannya.

Bagi pihaknya pula, setelah membisu sekian lama, Najib, pada hari Sabtu (4 November), memecah kesunyian dengan membuat kenyataan “mana de?” bagi menafikan dakwaan Clare Brown itu.

“Mana ada saya buat, sebab Clare pun dah gelabah sekarang,” katanya dalam satu perhimpunan Umno di ibu negara.

Hadi Buka Pintu Kuala

Tidak kurang menarik ialah saman Abdul Hadi itu memberi peluang kepada Clare Brown menceritakan dengan panjang lebar kepada Mahkamah Inggeris asal usul 1MDB dan skandal yang melandanya.

Malah kisah pembelian kapal selam Scorpene dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu pun turut dinukilkannya.

Begitu teliti dan panjang lebar hujah balas Clare Brown itu sehingga nama Ahmad Maslan 3.8, Ahmad Bashah (lena) Hanipah dan ramai lagi penyokong tegar Najib pun dibabitkan sama.

Hendak mudahkan cerita, sekiranya ada pembahas dan pelawat yang berminat dan ada masa bolehlah cuba baca dokumen Clare Brown itu DI SINI.

Apa pun saya tabik spring kepada Tuan Guru kerana mengotakan apa yang dia kata. Dia kemukakan saman ke atas Clare Brown dan Sarawak Report -  tidak macam Pahlawan Bugis Najib yang ancam saman Wall Street Journal sudah lebih 120 Selasa tapi tidak buat apa-apa.

Jelaslah Abdul Hadi lebih jantan daripada Najib tapi saya tidak berani kata siapa lebih cerdik.

Abdul Hadi lebih berani daripada Najib
Percubaan Sekat

Tapi ada percubaan oleh PAS bagi menakutkan media massa dan peserta media sosial dengan ancaman akan saman sesiapa yang siarkan hujah Clare Brown itu.

Tak tahulah sama ada PAS tak tahu atau sekadar gempar. Kalau PAS parti yang alim (berilmu), ia tentu tahu bahawa segala-gala yang berlaku dalam mahkamah boleh dilaporkan melainkan ditegah oleh hakim perbicaraan.

Malah wartawan yang buat liputan mendapat keistimewaan bersyarat (qualified privilege) daripada mahkamah macam juga apabila mereka membuat laporan sidang Parlimen.

Tapi saya fahamlah percubaan menakut-nakutkan itu sebab apa yang didedahkan oleh Clare Brown dalam pembelaannya sangatlah mengejutkan kerana nampaknya ramai ketua PAS kaya dan mengamalkan gaya hidup mewah yang luar biasa.

Orang PAS yang hidup susah dan terpaksa pula menggali kocek menderma kepada parti tentulah tertanya-tanya daripada mana ketua-ketua mereka dapat duit begitu banyak untuk hidup sedemikian mewah.

Atau mereka mungkin berasa tertipu selama ini menderma kerana menganggap parti mereka miskin sedangkan ketua-ketua mereka hidup mewah dengan kereta mahal dan rumah jutaan ringgit.

Clare Brown mendakwa sumber kekayaan itu datangnya Presiden Umno Najib Abdul Razak hasil skandal 1MDB.

Kalau betul dakwaan itu, sekarang fahamlah kita pasal apa Tuan Guru Haji Abdul Hadi sangat akrab dengan “Bapa Pembangunan India” itu.

Najib dan Khalifah Baghdad

Kisah cinta lara Najib-Abdul Hadi ini mengingatkan saya kepada cerita-cerita yang saya baca mengenai serangan dan pemusnahan kota Baghdad oleh tentera Mongol di bawah pimpinan Hulagu Khan pada tahun 1258. Hulagu adalah cucu Genghis Khan.

Khalifah Abbasiyah pada waktu itu ialah Al-Musta’sim yang keturunannya telah memerintah selama 626 tahun sejak Masihi 632.

Dia digambarkan sebagai seorang pemerintah yang tidak berkesan dan dikelilingi oleh penasihat yang saling bertelingkah antara satu sama lain.
Malah pada hari-hari terakhir pemerintahannya – ketika dikepung oleh tentera Mongol - dia dikhianati oleh Perdana Menterinya sendiri.

Ada dua versi mengenai kematian Al-Musta’sim. Pertama, apabila Hulagu masuk istana Al-Musta’sim, dia mendapati ia dipenuhi emas permata. Dalam perkiraan Hulagu, kekayaan itu sepatutnya digunakan untuk memperkukuhkan pertahanan kota Bahghad.

Lantas Hulagu mengurung Al-Musta’sim di dalam bilik di mana dia menyimpan emas permatanya. Hulagu menyuruhnya makan emas pertama di dalam bilik itu. Al-Musta’sim akhirnya mati kebuluran.

Kedua, Hulagu tidak mahu menumpahkan darah seorang pemerintah maka dia mengarahkan askarnya membungkus Al-Musta’sim dengan permaidani paling mahal dalam istananya dan mengarahkan askar berkuda memijaknya sampai mati.

Kerana lemah dan dikelilingi oleh penasihat yang bergaduh sesama sendiri, Al-Musta’ṣim hilang peluang untuk selamatkan Baghdad.

Dia tidak mempedulikan beberapa tuntutan yang dibuat oleh Hulagu sebaliknya membalas dengan cakap besar dan ancaman kosong.

Moral cerita kejatuhan Baghdad ialah seorang khalifah (ketua) boleh mengelilingi dirinya dengan ramai penasihat dan emas permata.

Tetapi kalau penasihat yang ramai itu daripada jenis yang mementingkan diri sendiri dan kekayaan negara digunakan untuk kesenangan diri atau memberi rasuah, pemerintah itu lambat laun akan jatuh dalam kehinaan.

Apabila mendengar berita Al-Musta’sim sudah mati, 300 orang pembesarnya menyerah diri dan mengakui setia kepada Mongol. Hulagu menerima penyerahan diri mereka dan memerintahkan supaya mereka dipancung.

Ahli falsafah George Santayana berkata, “those who do not remember the past are condemned to repeat it”. Mereka yang lupa masa lampau akan mengulangi kesilapan masa lalu.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).